Pages

Thursday, 10 June 2010

Tazkirah

Rahsia di sebalik sembahyang 5 waktu.

Ali bin Abi Talib RA berkata: "Sewaktu Rasulullah SAW duduk bersama sahabat Muhajirin dan Ansar, tiba-tiba datang satu rombongan orang Yahudi lalu berkata: "Ya Muhammad, kami hendak bertanya kepada kamu kalimat yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa AS yang tidak diberikan kecuali kepada nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab."

Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Silakan bertanya." Berkata orang Yahudi: " Sila terangkan kepada kami mengenai 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu."

Sabda Rasulullah SAW: "Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada tuhannya. Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam AS memakan buah khuldi. Maghrib itu adalah saat Allah SWT menerima taubat Nabi Adam AS.

"Maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas dan kemudian dia berdoa meminta sesuatu kepada Allah SWT, maka pasti Dia akan menunaikan permintaannya. Isyak ialah sembahyang yang dikerjakan oleh rasul sebelumku. Subuh adalah sebelum terbit matahari. Ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan."

Selepas orang Yahudi mendengar penjelasan Rasulullah SAW, mereka berkata: "Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakanlah kepada kami, apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang?"

Rasulullah SAW bersabda; "Jagalah waktu sembahyang, terutama sembahyang yang pertengahan. Sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam. Orang mukmin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari akhirat."

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam AS memakan buah khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.

Selepas itu, Rasulullah SAW membaca ayat yang bermaksud: "Jagalah waktu sembahyang, terutama sekali sembahyang yang pertengahan. Sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat nabi Adam AS diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu daripada Allah SWT, maka Allah SWT akan diperkenankan."

Sabda Rasulullah SAW: ""Sembahyang Isyak (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isyak berjemaah, Allah SWT haramkan dirinya daripada terkena nyala api neraka dan diberikannya cahaya untuk menyeberangi titian sirath."

Sabda Rasulullah SAW seterusnya: "Sembahyang Subuh pula, seseorang mukmin yang mengerjakan sembahyang Subuh selama 40 hari secara berjemaah, diberikan kepadanya oleh Allah SWT dua kebebasan iaitu dibebaskan daripada api neraka dan dibebaskan daripada nifaq."

Kesimpulannya:
(Pedoman dan renungan untuk diri saya dan kita semua...)
Oleh itu sama-samalah kita menjaga solat kita dan di samping itu kerjakanlah solat di awal waktu, semoga kita tidak menjadi umatnya yang kerugian... Insya Allah..
SMART Solat ...

Petikan daripada :
Metro Ahad 25 April 2010, muka surat D24.
(Mekasih Metro).

No comments: